Langsir Moden Terkini 2023

15 Februari 2023

by Wana Che Ujang

Menjelang tahun 2023, dunia hiasan rumah masih terus berkembang, dan hiasan langsir juga tidak terkecuali menerima tempiasnya. Dengan peredaran masa, hiasan dan rekaan langsir telah melalui fasa perubahan yang agak ketara. Kini, langsir bukan sahaja memainkan peranan untuk menapis kehadiran cahaya tetapi juga mampu memberi kesan estetik yang menaikkan seri ruang interior rumah anda. Teruskan membaca artikel ini hingga ke akhirnya sekiranya anda berminat untuk mengetahui apakah trend langsir moden terkini bagi tahun 2023 dan tips yang relevan untuk pemilihan langsir moden terkini.

Summer House / Collection

Mengetahui Tempat untuk Membeli Langsir Moden Terkini


Persoalan yang paling penting semasa memulakan pencarian langsir moden terkini adalah di mana anda boleh mendapatkan langsir yang menjadi pilihan hati anda. Sebenarnya ini bergantung kepada pilihan anda sama ada mahu membeli langsir pasang siap atau membeli fabrik langsir kemudiannya membuat tempahan langsir. Dengan bermulanya Revolusi Industri Keempat dan perkembangan teknologi, anda bukan sahaja boleh melawat kedai menjual fabrik secara fizikal, tetapi dapat juga mencari fabrik dan langsir pilihan hati daripada kedai atas talian. Acacia Fabrics menawarkan kemudahan untuk mencari material langsir pada hujung jari. Anda boleh menggunakan laman Pencarian Langsir dari Acacia Fabrics ini untuk mencari fabrik yang sesuai untuk hiasan dalaman rumah anda. Satu kelebihan menggunakan khidmat kedai atas talian adalah anda tidak perlu meninggalkan rumah anda untuk mendapatkan akses kepada rekaan langsir moden terkini daripada seluruh pelosok dunia.

Opera / Collection

Hiasan Metalik


Langsir moden terkini pada tahun 2023 kebanyakannya mengetengahkan ciri hiasan metalik yang terdiri daripada warna emas, perak, atau gangsa. Pelbagai cara yang boleh anda lakukan untuk menerapkan gaya ini dalam rekaan langsir anda, termasuklah dengan memilih perkakasan langsir seperti rod yang berwarna metalik. Material langsir juga memainkan peranan yang besar. Anda boleh memilih fabrik dengan benang metalik yang boleh memberi kesan kilauan mempesona apabila terkena cahaya matahari.

Confidante / Collection

Alat Reka Bentuk Maya yang Dikuasakan oleh Kecerdasan Buatan (AI)


Tahukah anda terdapat alat reka bentuk maya yang dikuasakan AI untuk langsir moden? Alat ini membolehkan anda menggunakan teknologi visualisasi 3D dan algoritma AI untuk mencipta paparan maya ruang anda dan memberikan anda rekomendasi untuk gaya, material, warna, saiz dan perkakasan langsir moden terkini. Anda boleh bereksperimen dengan pilihan fabrik dan warna yang berbeza untuk langsir anda menggunakan teknologi ini. Sebagai pemilik rumah, anda boleh pratonton dengan mudah bagaimana warna dan fabrik yang berbeza akan kelihatan di ruang anda, seterusnya membantu anda membuat keputusan yang lebih tepat sebelum membuat pembelian. Pengguna disajikan dengan imej langsir secara lebih realistik dan seolah-olah berada di dunia nyata dengan menggunakan teknologi realiti berperantara atau “augmented reality”. Selain gaya dan fabrik langsir, anda juga boleh pratonton pilihan perkakasan yang berbeza, seperti rod langsir dan ikatan. Bukan itu sahaja, alat reka bentuk maya berkuasa AI memungkinkan anda untuk mendapat ukuran yang tepat bagi langsir tanpa perlu mengukur tingkap anda secara fizikal. Ukuran lebar dan panjang langsir ini dijana menggunakan maklumat saiz dan dimensi bilik yang telah dimasukkan oleh pengguna ke dalam sistem. Ini boleh menjimatkan masa anda dan memastikan langsir anda sesuai dengan sempurna di dalam ruang anda. Paling menarik, alat yang dikuasakan kecerdasan buatan ini berupaya memberi cadangan mengenai pilihan langsir moden terkini yang menepati bajet yang anda miliki. Sebagai contoh, ia boleh mencadangkan material langsir yang lebih murah dan kos efektif.

Naturama / Collection

Langsir Moden Berteknologi Pintar 


Kini, jaringan telekomunikasi yang kian meluas dan berkembangnya teknologi 5G menyebabkan teknologi pintar bukan hanya digunakan untuk komunikasi menggunakan telefon tetapi juga dalam aktiviti seharian anda yang lain. Ledakan Internet of Things (IoT) atau dalam bahasa Melayunya dikenali sebagai Internet Pelbagai Benda (IPB) terdiri daripada jaringan benda di sekeliling anda yang mempunyai sensor dan perisian, berfungsi untuk menukarkan data dengan sistem lain menerusi akses internet. 

Bayangkan, anda tidak perlu bangun dari katil tetapi hanya perlu membunyikan suara untuk membuka dan menutup langsir moden terkini di kamar tidur anda! Ciri pintar ini dikenali sebagai kawalan pergerakan menggunakan suara. Satu contoh yang lain adalah ciri peraturan jadual yang memungkinkan anda menjimatkan masa dan tenaga dengan menetapkan masa spesifik bagi langsir anda dibuka dan ditutup secara automatik. Ciri pelarasan langsir secara automatik pula membolehkan langsir anda bergerak secara automatik apabila mengesan perbezaan suhu dan kehadiran cahaya. Sebagai contoh, apabila cahaya matahari yang terik memasuki ruang dalaman rumah, langsir akan mengesan cahaya ini seterusnya memicu langsir untuk ditutup secara automatik bagi mengehadkan kemasukan haba ke dalam rumah anda. 

Salah satu kelebihan menggunakan langsir yang dilengkapi dengan teknologi pintar adalah dapat mendorong penjimatan tenaga dan mengurangkan biaya bil elektrik. Apabila anda membuat jadual masa untuk bila langsir anda akan dibuka dan ditutup secara automatik, anda dapat mengelakkan penggunaan penghawa dingin secara berlebihan seterusnya menjimatkan kos elektrik dalam jangka masa yang panjang. Bukan itu sahaja, anda boleh menyambungkan langsir berteknologi pintar dengan hab rumah pintar, sekaligus membolehkan langsir ini bertindak balas secara terus dengan perubahan cuaca. Ini bermaksud langsir ini boleh mengesan waktu paling panas dalam sehari seterusnya mendorong penutupan langsir bagi menghalang kemasukan haba ke dalam rumah. 

Sebaliknya, langsir ini juga boleh dibuka secara automatik apabila mengesan kehadiran cahaya dalam musim sejuk, seterusnya membolehkan proses pemanasan rumah menggunakan sumber semula jadi iaitu sinar matahari. Sistem hab rumah pintar juga membolehkan pemilik rumah membuat “pairing” atau sambungan dengan pencahayaan pintar. Ini membolehkan cahaya semula jadi digunakan secara optimum untuk mengurangkan penggunaan tenaga. Penjimatan tenaga berlaku apabila pembukaan langsir memicu penutupan lampu di dalam rumah. 

Paling hebat, pembukaan dan penutupan langsir mengikut jadual boleh memberi ilusi bahawa terdapat penghuni di dalam rumah walaupun pada ketika itu anda tiada di dalam kediaman anda. Ciri ini membolehkan rumah anda kebal daripada dipecah masuk perompak. 

Apabila anda dalam proses pemilihan langsir yang dilengkapi dengan teknologi pintar, anda hendaklah memastikan anda memilih langsir yang bersesuaian dengan peranti pintar milik anda. Gabungan teknologi pintar dengan rekaan langsir yang elegan dan moden mampu menghasilkan suasana yang lebih mewah dan selesa di dalam rumah anda. Tambahan pula, teknologi pintar dalam rekaan langsir bersifat lebih mesra terhadap alam semula jadi dan membantu penggunaan sumber tenaga secara efisien.

Langsir Moden dengan Cetakan Digital


Perkembangan teknologi bukan sahaja membuka jalan untuk penggunaan langsir yang dilengkapi ciri pintar secara lebih meluas, tetapi juga mencetuskan revolusi dalam dunia rekaan fabrik langsir. Sekiranya kita tinjau kaedah cetakan tradisional, ianya mengelak daripada mencetak corak yang besar kerana kos yang tinggi dan prosesnya yang rumit. Secara tidak langsung, ini telah mengehadkan pilihan dan gaya rekaan langsir. Namun begitu, perkara tersebut tidak lagi menjadi masalah memandangkan kini terdapat teknologi cetakan digital yang memudahkan dan meringkaskan proses penghasilan corak dan rekaan pada fabrik langsir. 

Kelebihan kaedah cetakan digital ini adalah corak dan rekaan khas boleh dihasilkan bersesuaian dengan kehendak pemilik rumah. Ini bermaksud corak langsir yang anda gunakan untuk hiasan kediaman anda tidak akan sama dengan corak langsir yang dimiliki oleh orang lain. Jadi, sekiranya anda menginginkan langsir yang unik, istimewa, dan lain daripada yang lain, langsir dengan fabrik cetakan digital adalah sangat sesuai untuk anda. Masa yang diperlukan untuk mencetak langsir menggunakan teknologi ini amat cepat dan tidak sepanjang kaedah cetakan tradisional. Pemilik rumah tidak lagi perlu menunggu lama untuk mendapatkan corak langsir pilihan hati dan juga tidak perlu menghabiskan banyak wang. Selain itu, cetakan corak secara digital membolehkan pengguna memilih tona warna yang lebih bervariasi dengan corak dan perincian yang lebih rumit. 

Maui / Collection 

Mengutamakan Kelestarian dalam Pilihan Langsir


Ramai pengguna semakin cakna akan impak yang mereka tinggalkan kepada alam sekitar. Oleh sebab itu, ramai yang mula mengutamakan aspek kelestarian sewaktu membuat pilihan langsir untuk menghiasi rumah. Antaranya mereka mula memilih langsir yang diperbuat daripada material yang lebih lestari dan selamat untuk alam sekitar seperti kain kapas organik, gentian hemp dan linen. Penggunaan langsir daripada material ini mampu mengurangkan jejak karbon anda dan merupakan satu langkah bijak untuk melindungi alam sekitar kerana material ini berasal daripada tumbuhan yang ditanam tanpa penggunaan racun dan bahan kimia yang berbahaya. Material ini juga adalah berkualiti tinggi dan tahan lebih lama jika dibandingkan dengan dengan material sintetik. Buat pengetahuan para pembaca, Acacia Fabrics menawarkan pelbagai pilihan langsir yang mesra alam sekitar seperti koleksi langsir daripada material kapas ini. Anda boleh ketahui tentang langsir moden yang diiktiraf dengan Standard Kitar Semula Global di sini.

 Arcadia / Collection 

Anggaran Bajet untuk Hiasan Langsir Moden Terkini


Sewaktu proses merancang pemasangan langsir moden di rumah anda, sudah pastinya anda menitikberatkan aspek perancangan kewangan dan berapa bajet yang perlu anda peruntukkan. Sebenarnya ini bergantung kepada jenis langsir dan konsep yang ingin diketengahkan. 

Pertama sekali, sekiranya anda mahu memasang langsir moden yang memiliki ciri pintar, kos bergantung kepada jenama, ciri teknologi pintar yang digunakan serta saiz jendela. Anda juga hendaklah mempertimbangkan mengenai ciri teknologi pintar yang digunakan. Misalnya, langsir yang memiliki ciri kawalan suara dan berasaskan teknologi sensor adalah lebih mahal berbanding langsir yang dikawal menggunakan alat kawalan jauh. Saiz jendela juga mempengaruhi harga sistem langsir berteknologi pintar. Harga untuk jendela yang bersaiz standard adalah antara RM800 hingga RM2,500. Anda juga perlu mengeluarkan belanja antara RM300 hingga RM1,000 untuk kos pemasangan langsir, bergantung kepada jumlah tenaga kerja yang diperlukan untuk memasang langsir berteknologi pintar dan kerumitan sistem teknologi yang digunakan. 

Bagaimana pula sekiranya anda mahu menghiasi ruang dalaman rumah anda dengan langsir dengan cetakan digital? Berapakah kos yang perlu anda peruntukkan? Ini bergantung kepada kerumitan rekaan cetakan digital langsir tersebut. Cetakan digital yang lebih kompleks dengan pelbagai warna dan corak memiliki harga yang lebih tinggi. Bukan itu sahaja, kos langsir cetakan digital bergantung kepada kualiti cetakan. Sekiranya cetakan digital berkualiti tinggi, anggaran kos yang perlu anda keluarkan untuk satu panel langsir adalah antara RM800 hingga RM3,500 atau lebih. 

Sekiranya anda seorang yang mahu menggunakan langsir daripada material yang mesra alam sekitar, kebiasaannya material ini adalah berharga lebih mahal daripada material sintetik. Sebagai contoh, anggaran harga untuk langsir daripada fabrik kapas organik dan linen adalah antara RM300 hingga RM2,500 satu panel, bergantung kepada kualiti material dan saiz langsir itu sendiri.

Mikado / Collection

Tips Memilih Langsir Moden untuk Ruangan Luar Rumah

Adakah anda mencari idea tentang jenis langsir moden terkini yang sesuai untuk ruangan balkoni dan patio rumah anda? Langsir di ruangan ini merupakan solusi yang tepat untuk melindungi kawasan tersebut daripada panas matahari dan hujan di samping menampilkan keindahan pada kawasan luar rumah anda. Penggunaan langsir pada kawasan luar rumah anda mampu memberikan privasi kepada anda dan pada masa yang sama membolehkan anda menikmati keindahan kawasan luar rumah. 

Satu jenis langsir yang sesuai digunakan di kawasan luar rumah anda adalah langsir roller. Langsir jenis ini diperbuat daripada bahan yang tahan terhadap sinar ultraviolet dan hujan. Penggunaaan langsir ini juga tidak remeh, anda hanya perlu menggunakan alat kawalan jauh atau menarik tali bagi mengawal pembukaan dan penutupan langsir roller ini. 

Langsir nipis diperbuat daripada fabrik voile atau tulle pula memiliki ciri yang kalis air dan kalis cahaya matahari. Oleh sebab itu, ianya sangat sesuai digunakan di kawasan luar rumah anda seperti balkoni, kolam mandi, dan kawasan teres. 

Selain itu, langsir ziptrack merupakan pilihan langsir yang versatil dan praktikal untuk pengguna yang mahu menambah gaya dan praktikaliti pada ruangan luar rumah mereka. Langsir ini dilengkapi dengan dua trek menegak yang disambungkan pada bahagian ruangan luaran rumah dan satu bar melintang yang berada pada bahagian atas trek. Langsir akan disambungkan pada bar melintang ini, membolehkan ia dinaikkan dan diturunkan dengan menarik kod langsir. Satu ciri istimewa langsir ziptrack ini adalah kebolehannya menghalang angin dan hujan dan pada masa yang sama mampu membenarkan aliran cahaya dan udara ke bahagian patio, balkoni atau teres rumah anda.

 Nero / Collection

Penutup


Ringkasnya, reka bentuk langsir moden sangat berkait rapat dengan teknologi, kesederhanaan, dan praktikaliti. Penggayaan ruang rumah anda dengan langsir moden terkini mampu mewujudkan ruang kediaman yang bergaya dan anggun.


Download BRU Trends 2023 - 2024 PDF

Ingin mencari sofa yang berkualiti dengan fabrik kreatif dan khidmat penyelenggaraan secara mudah? Cari bilik pameran kami yang terdekat dengan anda di acaciasofa.co
Jika anda sedang mencari langsir yang sempurna dan sesuai untuk personaliti anda di rumah, cari butik kami yang terdekat di acaciacurtain.co